Pendaftaran secara atas talian Pakej Komunikasi Belia (PKB) iaitu rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G bagi belia berumur 21 hingga 30 tahun bermula secara rasmi hari ini. Kami telah membuat tinjauan ke laman web SKMM bagi mendapatkan gambaran bagaimana pendaftaran ini dibuat.
Cubaan untuk ke laman web rasmi SKMM gagal mungkin disebabkan ramai belia yang membuka laman web tersebut. Kami cuba untuk menggunakan pautan yang diberi sebelum ini iaitu http://nbi.skmm.gov.my/ , tetapi tetap gagal.
Setelah dibuat semakan, SKMM telah membuka pendaftaran di pautan komunikasibelia.skmm.gov.my yang baru. Dalam 3o minit sahaja selepas pendaftaran dibuka pada jam 7 pagi tadi, 170 belia telah pun berjaya mendaftar rebet RM 200 berdasarkan statistik yang dipaparkan.

Borang permohonan pendaftaran rebet secara atas talian ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu borang permohonan bagi belia yang bekerja dan borang permohonan bagi belia yang masih belajar. Berikut merupakan tips yang kami ingin kongsi dengan pembaca sebelum mengisi borang tersebut:
- Penetapan umur 21 hingga 30 adalah mengikut tarikh lahir dan bukan mengikut tahun kelahiran. Jika anda belum genap berumur 21 tahun mengikut tarikh lahir, anda belum boleh memohon kerana sistem permohonan berjaya mengesan.
- Bagi belia yang bekerja dengan majikan, pastikan anda cari nombor KWSP peribadi terlebih dahulu kerana anda wajib mengisi ruangan nombor KWSP. Bagi belia yang bekerja sendiri, nombor ini tidak diperlukan.
- Bagi belia yang masih belajar pula, pastikan anda cari nombor kad pelajar terlebih dahulu kerana anda wajib mengisi ruangan nombor kad pelajar di bahagian Maklumat Pengajian.
Berdasarkan cubaan yang dibuat oleh kami untuk mendaftar Pakej Komunikasi Belia (PKB) sebentar tadi (bagi pendaftaran adik saya), ia berjalan dengan lancar sehinggalah kepada bahagian terakhir. Setelah bebutang Daftar dipilih, paparan notis “Permohonan sedang dihantar. Sila tunggu” muncul. Walaupun lebih 10 minit berlalu, tiada apa-apa yang berlaku dan paparan notis masih lagi memaparkan permohonan sedang dihantar.

Dalam erti kata lain, mungkin kesibukan trafik menyebabkan ia sangat lambat. Pendapat kami, SKMM perlu mengambil tindakan segera kerana mengatasi masalah ini kerana ia pastinya menyukarkan pendaftaran oleh belia yang layak. Pendaftaran pula hanya boleh dilakukan bermula 7 pagi hingga 11 malam sahaja setiap hari. Bagi belia yang layak, sekiranya ia turut berlaku kepada anda, ada baiknya anda mencuba di masa yang berlainan.
Kami juga membuat tinjaun pada laman web syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan maklumat berkenaan model telefon yang akan ditawarkan. Namun, buat masa ini, hanya U Mobile dan Yes 4G sahaja yang telah memaparkan Pakej Komunikasi Belia di laman web rasmi mereka.
Bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan inisiatif Pakej Komunikasi Belia (PKB) sama ada syarat permohonan, cara memohon, gambar dan spesifikasi telefon yang boleh dipilih, pembaca dijemput ke artikel kami sebelum ini iaitu Pakej Komunikasi Belia yang mengandungi 5 artikel buat masa ini.




