Rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) bermula secara rasmi hari ini. Sebelum ini, kami telah melaporkan tawaran dan pilihan model telefon oleh syarikat telekomunikasi U Mobile dan Yes 4G.
TuneTalk juga telah menawarkan PKB di dalam laman web mereka. TuneTalk menawarkan 7 pilihan model telefon pintar iaitu Ninetology Black Pearl II, Ninetology Palatte, ZTE Acqua, Samsung Galaxy Y, Sony Xperia Tipo Dual, Nokia Asha 311 dan BlackBerry Torch 9800. Buat masa ini, TuneTalk sahaja yang telah menawarkan model telefon dari BlackBerry walaupun tiada di dalam senarai awal 23 model telefon yang dipaparkan di laman web SKMM tempoh hari.

Dengan potongan rebet RM200, TuneTalk menawarkan model telefon serendah RM199 melalui 3 peranti iaitu Ninetology Palette, Samsung Galaxy Y dan Nokia Asha 311. Selebihnya akan ditawarkan pada harga RM299.
Belia yang berminat dikehendaki melanggan Pelan Pakej Komunikasi Belia daripada TuneTalk dengan bayaran RM20 sebulan. Pelan tersebut menawarkan kuota data sebanyak 300Mb, 30 minit panggilan suara dan 30 unit sms setiap bulan. Bagi bulan pertama, TuneTalk akan memberikannya secara percuma.
Kami tidak pasti sama ada ia memerlukan kontrak atau pun tidak. Pada pandangan kami, TuneTalk tidak menetapkan sebarang tempoh kontrak dan belia boleh membatalkannya pada bila-bila masa. TuneTalk menawarkan kadar panggilan, sms dan data yang tetap bagi kesemua pelan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, pembaca boleh melayari laman web rasmi TuneTalk.




