Pendaftaran Pakej Komunikasi Belia (PKB) iaitu rebet RM 200 bagi pembelian telefon pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun telah 4 hari berlalu. Dalam tempoh 12 jam selepas pendaftaran bermula pada 1 Januari yang lalu, hampir 5,500 belia telah berjaya mendaftar. Menurut maklumat dari En. Nizam, salah seorang pembaca MyTetikus, sehingga tengah hari tadi, 15,730 belia telah mendaftar. Ini bermakna masih ada lebih 1.48 juta lagi kuota bagi rebet RM200.
Ramai di kalangan pembaca telah menyuarakan persoalan di mana mereka boleh membeli telefon pintar dengan menggunakan rebet RM200 tersebut. Seperti yang telah kami jelaskan di dalam artikel sebelum ini, belia hanya boleh membeli telefon tersebut dari syarikat telekomunikasi atau pengedar terpilih sahaja. Namun, buat masa ini, hanya U Mobile, Yes 4G, Celcom dan TuneTalk sahaja yang telah menawarkan pilihan model telefon di bawah PKB.
Walau bagaimanapun, dengan penghapusan had maksimum RM 500 pembelian telefon pintar oleh Jemaah Menteri 2 hari yang lalu, pastinya syarikat telekomunikasi akan membuat tawaran baru kepada belia dengan pilihan yang mungkin lebih banyak tidak lama lagi.

Digi dalam satu pengumuman yang dibuat di dalam laman Facebook mereka sejam yang lalu telah menyatakan bahawa mereka akan menawarkan pilihan model telefon dengan pelan Internet yang lebih nilai kepada belia pada 8 Januari (Selasa) ini. Untuk makluman pembaca, pada 7 Januari, Digi akan melancarkan Google Nexus 4 yang dikatakan akan berharga di antara RM1,599 hingga RM1,799.
Adakah mungkin Digi akan menawarkan Google Nexus 4 kepada belia? Dengan tambahan rebet RM 200, belia hanya perlu membayar RM 1,499 hingga RM 1,599 sahaja bagi mendapatkan Google Nexus 4.
Kami berpendapat bahawa syarikat telekomunikasi lain juga akan membuat tawaran baru dengan pilihan model yang lebih banyak dalam tempoh terdekat pada bulan Januari ini. Bagi belia yang telah berjaya membuat pendaftaran, anda tidak perlu risau kerana masa satu bulan diberi untuk anda membuat pembelian. Bagi belia yang belum mendaftar, jangan risau kerana masih ada lebih 1.48 juta kuota PKB.




