Hari ini, Celcom telah melancarkan pelan bagi Pakej Komunikasi Belia (PKB). Buat masa ini, Celcom hanya menawarkan 1 model telefon sahaja iaitu Samsung Galaxy Y dengan pelan pasca bayar mereka iaitu Celcom First.
Sebelum ini, kami telah melaporkan Pakej Komunikasi Belia (PKB) yang ditawarkan oleh 3 syarikat telekomunikasi iaitu:
- U Mobile Tawar 5 Model Telefon dengan Pek Prepaid Percuma Bernilai RM28
- Yes 4G Tawar Telefon Pintar The Buzz Phone Hanya RM 50 dengan Tambah Nilai RM30 percuma
- TuneTalk Tawar 6 Model Telefon Pintar dengan Pelan RM20 sebulan
Ketiga-tiga pelan di atas merupakan pelan pra bayar dengan bayaran bulanan di bawah RM 30 sebulan bagi pelan panggilan dan data Internet. Berdasarkan maklumat kami peroleh setakat ini, tiada tempoh kontrak ditetapkan oleh ketiga-tiga pelan tersebut.
Berbeza dengan Celcom, mereka menawarkan Pakej Komunikasi Belia dengan 6 pelan pasca bayar dengan pilihan kontrak sama ada 12 atau 18 bulan. Di samping itu, Celcom menawarkan tambahan rebet ke atas pembelian Samsung Galaxy Y dari RM51 hingga RM161 dan tambahan data percuma dari 50Mb hingga 200Mb.

Secara peribadi, kami merasakan Celcom menyediakan pakej yang tidak bersesuaian dengan kehendak Pakej Komunikasi Belia (PKB). Tujuan PKB ini dibuat adalah untuk membantu belia khususnya di pedalaman untuk bertukar kepada telefon pintar 3G bagi memudahkan mereka mendapat akses Internet.
Sekiranya penetapan kontrak 12 atau 18 bulan dengan bayaran bulanan serendah RM78, adakah ia mampu mencapai hasrat yang digariskan di dalam PKB tersebut? Jika dilihat kepada penetapan syarat dan garis panduan PKB, Sekiranya kumpulan sasar adalah belia yang berkemampuan, kami merasakan mereka lebih berminat untuk mendapatkan peranti yang lebih baik seperti iPhone 5 atau Samsung Galaxy Note berbanding pilihan telefon di bawah RM500 yang merupakan telefon pintar bajet.
Oleh kerana itu, inisiatif ini dibuat untuk membantu belia yang kurang berkemampuan dan masih menggunakan telefon 2G supaya dapat bersama-sama mendapat akses maklumat melalui Internet dengan lebih mudah. Kami mengharapkan Celcom dapat membuat tawaran yang lebih sesuai seperti pelan pra bayar dalam PKB ini. Dengan pelan pra bayar, belia hanya bayar apa yang mereka guna tanpa terikat dengan kontrak bulanan atau penggunaan minimum bulanan.




