Microsoft dijangka akan melancarkan tablet keluaran mereka, Microsoft Surface Pro pada penghujung bulan ini. Ini adalah berdasarkan jangkaan daripada beberapa laporan di laman web teknologi.
Jangkaan ini mungkin ada kebenarannya kerana Microsoft pernah membuat kenyataan bahawa Microsoft Surface Pro akan dilancarkan dalam tempoh 90 hari selepas pelancaran Microsoft Surface RT. Tablet Surface RT telah dilancarkan dan mula dijual pada 26 Oktober 2012 yang lalu.
Berdasarkan tarikh pelancaran Surface RT, kemungkinan besar tarikh pelancaran Surface Pro adalah sekitar 26 Januari 2013. Ada sebahagian laman web seperti Neowin dan Sofpedia membuat jangkaan ia akan dilancarkan pada 29 Januari. Walau bagaimanapun, Microsoft belum membuat kenyataan rasmi tarikh pelancaran tablet mereka tersebut.

Microsoft telah mengumumkan tablet keluaran mereka dengan sistem operasi Windows 8 pada 18 Jun 2012 yang mana 2 versi akan dikeluarkan iaitu Microsoft Surface RT dan Microsoft Surface Pro. Perbezaan utama Surface Pro dan Surface RT ialah Surface Pro membolehkan pengguna memasang perisian dan aplikasi dari pihak ketiga seperti yang boleh dilakukan pada sistem operasi Windows 8 pada komputer biasa. Sebaliknya Surface RT hanya membenarkan pengguna memasang aplikasi daripada Windows Store sahaja.
Antara spesifikasi utama Microsoft Surface Pro ialah ia dilengkapi dengan pemprosesan Intel Core i5, memori 4Gb, skrin 10.6 inci dengan definasi tinggi dan storan 64Gb atau 128Gb. Harga Surface Pro 64Gb dijangka dijual dengan harga AS $899 (RM 2,753) manakala Surface Pro 128Gb dengan harga AS $999 (RM 3,039). Harga tersebut hanya bagi peranti tablet sahaja tidak termasuk aksesori mereka iaitu Touch Cover dan Type Cover yang dijual secara berasingan.
Sumber : PcWorld




