Baidu merupakan enjin carian nombor 1 di China dan merupakan enjin carian keempat terbesar di dunia selepas Google, Bing dan Yahoo. Pada Jumaat yang lepas, enjin carian dari China ini telah memperkenalkan carian berasaskan imej yang diberi nama “Baidu View“.
Baidu View berfungsi dengan membuat carian imej yang sama atau hampir sama dengan gambar yang dimuat naik oleh pengguna. Ia bertindak seperti fungsi Pengenalpasti Wajah (Face Recognition). Pengguna hanya perlu muat naik gambar yang ingin dibuat carian dan Baidu View akan memaparkan gambar-gambar yang sama atau hampir sama.

Kami telah membuat percubaan dengan menggunakan gambar artis lelaki popular tanah air iaitu Shaheizy Sam. Enjin carian dapat membuat carian tepat ke atas gambar yang sama. Manakala bagi gambar yang hampir sama pula, terdapat irasan wajah pada hasil carian yang dibuat.

Baidu View bukanlah enjin carian yang pertama memperkenalkan fungsi ini. Google pernah memperkenalkannya pada fungsi carian imej, namun telah ditarik balik pada awal tahun 2009 kerana ia melibatkan isu privasi pengguna. Adakah Baidu View akan bertahan lama atau ditarik balik juga seperti mana yang dilakukan oleh Google? Kita tunggu dan lihat. Sementara itu, pembaca boleh mencuba fungsi ini di laman web mereka.
Sumber : TheNextWeb




