Disebabkan lambakan extension bagi pelayar web paling popular, Google Chrome yang dipasang tanpa pengetahuan pengguna, Google akan memperkenalkan 2 ciri baru terhadap pelayar web mereka apabila Google Chrome 25 dikeluarkan tidak lama lagi.
Untuk pengetahuan pembaca, extension merupakan perisian bersaiz kecil yang boleh mengubahsuai dan meningkatkan fungsi pada pelayar web Chrome. Contoh extension adalah Google Mail Checker yang akan memaparkan jumlah emel yang belum dibaca di ikon sebelah kiri pelayar web.

Extension boleh dipasang pada pelayar web anda melalui Chrome Web Store. Walau bagaimanapun, Extension ini juga boleh dipasang ke dalam pelayar web Chrome tanpa disedari oleh pengguna apabila ia dipasang secara automatik bersama-sama perisian lain. Kelemahan tersebut telah diambil kesempatan oleh pihak ketiga untuk memasang extension yang tidak diingini dan tanpa pengetahuan pengguna.
Pelbagai jenis extension pada Chrome Web Store
Bagi mengatasi masalah tersebut, Google telah mengumumkan di laman blog mereka bahawa mereka akan memperkenalkan 2 fungsi baru pada pelayar web Chrome 25 yang akan menyukarkan pihak ketiga untuk memasang extension tanpa pengetahuan pengguna.
Pengurus Produk Chrome, Peter Ludwig telah menegaskan bahawa Google memutuskan untuk mengetatkan kawalan ke atas pemasangan extension oleh pihak ketiga kerana kemudahan dan polisi yang diberikan pada pelayar web Chrome sebelum ini telah disalahguna apabila pihak ketiga secara senyap memasang extension tanpa mendapat kebenaran dari pengguna.
Apabila Chrome 25 dilancarkan nanti, semua extension yang dipasang oleh pihak ketiga akan dimatikan (disabled) secara automatik dan notifikasi amaran akan dipaparkan kepada pengguna bagi memaklumkan bahawa extension tersebut telah dipasang dan akan menawarkan pilihan kepada pengguna sama ada ingin mengaktifkan atau mematikan extension tersebut.
Ciri kedua yang akan diperkenalkan pada Chrome 25 ialah ia akan mematikan kesemua extension oleh pihak ketiga yang telah dipasang sebelum ini secara automatik dan kotak notifikasi akan keluar (sekali sahaja selepas Chrome 25 dipasang) untuk membolehkan pengguna untuk membuat pilihan extension yang ingin diaktifkan. Selepas itu, sebarang perubahan perlu dilakukan di skrin Extension Management.
Sebelum ini, Mozilla telah memperkenalkan pelayar web baru mereka, Mozilla Firefox 17 pada bulan November 2012, yang mana antara lain menambah fungsi Click-To-Play bagi menghalang plugin berfungsi tanpa kebenaran pengguna. Nampaknya, Google turut mengambil langkah yang sama bagi melindungi pengguna daripada pemasangan extension tanpa kebenaran mereka. Tidak diketahui bila Goole Chrome 25 akan dilancarkan secara rasmi. Buat masa ini, pelayar web Google Chrome yang terkini adalah versi 23.






